Thursday 23 February 2012

2. Pasrah atau Redha

“Zan, tolong aku…..” Sayu sekali kedengaran suara Mardhiah, sahabat baikku di dalam telefon. Hariku yang tenang jadi terganggu. Memang aku tidak boleh, pantang sekali mendengar suara perempuan baik dalam nada sendu begitu. Hati terus berdebar-debar tidak karuan. Itulah kelemahanku.

“Dhiah, kenapa…kenapa kau menangis ni, apa yang telah berlaku pada kau?” Aku sudah tidak sabar mendengar luahan hatinya. Memang sudah kerja aku mendengar orang meluahkan perasaan padaku. Menyediakan telinga untuk mendengar. Menyediakan bibir untuk berkata-kata. Menyediakan mata untuk merenung dan menangis. Menyediakan tangan untuk memeluk dan membelai. Menyediakan hati untuk empati dan menyediakan bahu untuk disandarkan.

Kata kawan kaunselorku, aku bukan kaunselor profesional, selalu melibatkan emosi dan hubungan interpersonal yang berlebihan, salah tu katanya. Aku tidak tahu kenapa aku begitu. Aku tidak sengaja kerana itulah diriku yang sebenarnya, bukan dibuat-buat untuk empati, menangis dan ketawa bersama-sama klienku. Kadang-kala aku rasa, yang penting aku dapat mengurangkan tekanan mereka, itu lebih baik, dari aku memikirkan bahawa aku ini kaunselor profesional yang dibayar ikut jam aku bersama klien. Patutkah aku memberhentikan sesi jika aku rasa mereka tidak mampu membayar, atau melebihi masa yang dijanjikan? Entahlah…..aku tetap rasa tidak patut. Kalau itu dianggap menyalahi etika kaunselor, aku terpaksa menerimanya.

Kata pensyarahku dulu, “kaunselor tidak boleh membina hubungan yang berlebihan dengan klien, jika berlaku demikian, akan batal sesi kaunseling. Ingat, hubungan hanya sebatas kaunselor dan klien…!” Masih terngiang-ngiang peringatan tersebut setiap kali selesai kuliah oleh hampir semua pensyarahku di Jabatan Psikologi UKM.

Peringatan tersebut tidak menjadi bagiku. Hampir keseluruhan klienku akhirnya menjadi sahabatku, kenalanku atau kawan rapatku. Nasib baiklah kebanyakan hubungan terbina selepas berakhir sesi kami. Kalau klien lelaki pula nyaris jatuh cinta denganku sebagai kaunselor. Mungkin mereka ingat kaunselor seperti aku sangat ideal seperti apa yang selalu aku ungkapkan dalam setiap sesi. Mereka terlupa, kaunselor juga manusia biasa yang ada juga kelemahannya. Malah, sangat susah untuk melepaskan diri dan membuktikan aku sebagai manusia yang tidak sempurna. Mereka akan bandingkan aku dengan pasangan mereka yang sangat teruk pada penilaian mereka ketika itu. Mereka tidak tahu mungkin aku juga seperti pasangan mereka tu….hehehe. Tapi yang pasti aku ada ilmu kaunseling dan psikologi, yang aku pelajari untuk membezakan aku dengan mereka.

“Aku sedang tension ni…kau datanglah amik aku, nanti aku cerita,” rayu Mardhiah dalam esakannya.

Alahai, hibanya aku mendengar suara lembut Mardhiah dalam tangisannya. Aku terpaksalah ke rumah Mardhiah yang tinggal di taman yang sama denganku, tetapi jauh juga jaraknya kalau berjalan kaki. Mardhiah tiada kenderaan. Dia berhenti kerja atas permintaan suami. Demi setia dan kasihkan suami dan anak-anak, Mardhiah sanggup melepaskan kerjaya sebagai akauntan di sebuah bank terkemuka di Kuala Lumpur. Memang dia hebat, ijazah nya `First Class’. Sia-sia semua itu setelah suaminya meminta dia melepaskan jawatannya, atas alasan tiada orang menguruskan anak-anaknya. Puas aku menasihatinya supaya berfikir dengan mendalam sebelum membuat keputusan.

“Dhiah, ini soal kehidupan kau, masa depan kau,” nasihatku.

“Aku tahu…aku juga sayangkan kerjayaku. Tetapi Farid sudah mendesak aku kerana tidak mahu anak-anak terbiar,” jawab Dhiah dalam suaranya yang lembut tetapi kesal. Aku tahu, dia tidak rela untuk melepaskan jawatan yang sangat diminatinya itu.

Alasan Farid mudah saja, gajinya sudah cukup untuk menyara hidup mereka sekeluarga. Dia khawatir anak-anak terbiar setelah lima orang pembantu yang diambil dari agensi, semuanya tidak boleh diharap, ada yang lari, merokok, kasar dengan anak-anak dan macam-macam lagi alasannya. Ada logiknya alasan-alasan tersebut.

“Apakah kau yakin Farid akan menghargai pengorbanan kau melepaskan kerja kau ni. Kau yakin dia tidak akan sia-siakan kau, menganiaya hidup kau dan anak-anak?” Aku melontarkan pertanyaan jujur dari seorang kawan kepada kawan baik, bukan sebagai kaunselor, ketika Mardhiah menyatakan hasratnya kepadaku lima tahun dulu.

Mardhiah menganggukkan kepalanya sambil menjawab lembut, “dia dah berjanji dengan aku, tidak ada perkara yang tidak baik akan berlaku dalam keluarga kami.” Aku hanya tersenyum. Tidak tahu patut atau tidak aku meluahkan apa yang ada di hatiku, setelah melihat Mardhiah begitu yakin dengan Farid. Memang berat tetapi aku rasa perlu juga aku ungkapkan. Kalau dia mahu dengar syukurlah, kalau tidak mahu dengar terserahlah, yang penting aku sudah meluahkan.

“Kau yakin ke dengan janji Farid? Sebagai manusia biasa, aku takut dia akan berubah atau orang lain yang akan mempengaruhi dirinya berubah….apa akan jadi dengan kau dan anak-anak?” Aku melahirkan keraguan ringanku. Maklum aku orang luar. Mardhiah lebih mengenali suaminya kerana telah lama hidup bersama. Memang nampak baik orangnya dan sangat menyayangi Mardhiah.

“Apa kata kalau kau minta dia berikan dulu beberapa jaminan untuk masa depan kau. Kau ingat, bukan sedikit gaji yang kau lepaskan setiap bulan, Dhiah, lebih dari lima ribu ringgit. Semua hak kau ke atas duit dah tiada. Adakah Farid akan beri duit untuk keperluan peribadi kau, untuk sumbangan kau kepada ibu bapa kau, atau kau nak tolong adik-adik kau? Ada dia janji kau apa-apa tentang hal ini?” Aku jujur bertanya Dhiah.

Aku tidak mahu Dhiah menerima nasib yang sama macam klien aku bulan lepas, diceraikan suami dan dihalau keluar dari rumah sehelai sepinggang. Disebabkan tidak tahu hak, akhirnya badan merana. Aku tidak mahu Dhiah melalui semua itu. Dhiah kawan aku. Aku sayangkan dia. Derita dia, aku ikut sama merasa.

Mardhiah hanya diam tidak menjawab pertanyaanku. Lama dia diam, akhirnya menggelengkan kepala sambil bersuara perlahan, “tak ada janji apa-apa.” Aku hanya melepaskan keluhan beratku.

“Tak kan aku nak minta semua itu, nanti apa dia kata kat aku, macam mata duitan pulak, tak percayakan dia,” sambungnya.

“Kau perlu buat macam tu. Sekarang dia masih sayangkan kau. Nanti kita belum tahu nasib dan takdir kita Dhiah. Bukan aku nak menghasut kau, tapi aku tidak mahu berlaku perkara-perkara yang tidak baik pada diri kau, yang akan merugikan kau, menyiksa hidup kau. Tidak sanggup aku melihat kau begitu. Aku sayang kau. Kalau kau derita aku pun derita Dhiah.” Bunyi macam aku menghasut, tetapi sebenarnya tidak, hanya melahirkan kebimbangan seorang sahabat.

“Tak apalah, aku percayakan dia. Kau sendiripun tau kan dia baik dan sangat sayangkan aku dan anak-anak,” putus Dhiah lima tahun dahulu.

Aku menganggukkan kepala. Terpaksa akur dengan keputusan Dhiah, kerana dia lebih tahu apa yang dia buat. Dhiah juga cerdik, malah lebih cerdik dari aku sebenarnya, pastinya telah difikirkan secara mendalam buruk dan baiknya. Aku senyum mendengar kebulatan tekad sahabat baikku. Hanya doaku agar Dhiah sentiasa dilindungi Allah kerana dia sangat baik, dia berhak mendapat semua kabaikan dariMu Ya Allah.

Akhirnya dia secara paksa rela melepaskan kerjayanya yang cerah, demi untuk suami, anak-anak dan rumah tangganya. Semoga ini keputusan terbaik untuknya. Memang aku kesal dia melepaskan semua itu, tapi apakan daya, aku hanya seorang sahabat, selalu berharap yang terbaik untuknya.

Perempuan banyak menderita disebabkan sentiasa berpandangan positif sepenuhnya, setia, jujur, takut, kasihan dan malu. Mereka lupa nanti mungkin suami akan hilang semua perasaan itu kepada mereka. Mungkin tidak semualah, ada yang sangat baik.
“Kau free ke sekarang? Datang amik aku ye.” Kedengaran suara Mardhiah sudah tidak sabar lagi mahu berjumpa aku.

Aku meminta izin setengah jam lagi untuk menyiapkan masakanku, sup sayur campur untuk hidangan tengahari putra-putriku. Aku akan hidangkan di atas meja, nanti mereka boleh makan bila sudah lapar. Hari cuti sabtu begini, anak-anak leka dengan ‘permainan game PS2 dan PS3’ masing-masing, lupa makan. Nanti kalau lapar mereka akan turun makan. Bolehlah aku berlama-lamaan melayan Dhiah. Pasti panjang ceritanya dan akan mengambil masa yang lama, kalau dinilai dari suaranya tadi menyimpan banyak pendaman…aduh sahabatku, ujian apa lagi yang datang bertamu.

Perjalanan lima minit saja ke rumahnya. Aku tidak masuk ke rumah. Dhiah sudah menunggu aku di muka pintu rumahnya. Kelihatan tidak sabar dia untuk berjumpa aku. Mardhiah meluru masuk ke dalam kereta Honda Diamond silverku. Aku hanya merenung ke arah Mardhiah, tidak dapat berkata-kata.

Terkejut aku melihat susuk tubuh Mardhiah, sahabatku sejak dari universiti lagi, kurus, cengkung dan sangat tua kelihatannya, “Ya Allah, Dhiah, apa yang jadi dengan kau ni, masya-Allah….” Aku memeluk sahabatku yang suatu ketika dulu sangat cantik dan menjadi rebutan ketika di kampus. Kenapa hari ini jadi begini dia? Ya Allah sangat kasihan aku melihatnya. Hampir menitik air mataku, namun aku cuba menahannya.

Mardhiah menangis tersedu-sedu dibahuku. Aku terkedu. Hanya mampu memeluk, membelai rambutnya dan menggosok-gosok belakang sahabat kesayanganku yang sangat baik ini. Siapa yang telah menyakiti hatinya? Sangat baik dia, lembut, berbudi bahasa dan seingat aku tidak pernah dia melukakan hatiku baik dengan kata-kata atau perbuatannya, sepanjang sepuluh tahun persahabatan kami. Tidak sanggup aku melihatnya. Tergambar jelas penderitaannya. Memang aku sudah tiga bulan tidak bertemunya. Aku sibuk dengan bermacam-macam aktiviti seharian, hinggakan terlupa menyapanya.

Mardhiah tidak sabar hendak bercerita. Aku tahu. Aku juga tidak sabar, tetapi pura-pura kelihatan tenang. Aku mahu Dhiah bercerita dalam tenang, bukan dengan esak tangisnya. Tidak suka sedih-sedih begitu. Minda jadi sempit, tidak boleh bagi ide yang bernas.

“Kau dah makan ke?” Aku cuba mengalihkan perhatian Dhiah dari masalahnya supaya dia dapat menenangkan dirinya. Dia menggelengkan kepalanya, “tidak boleh menelan makanan, tekak aku pahit dan seleraku kelat,” akuinya.

Huh, ini pasti bukan masalah ringan kalau sampai begini keadaannya. Akhirnya aku bertanya juga, tidak sanggup membiarkan dia memendam perasaannya.

“Kenapa, apa yang berlalu sebenarnya?” Aku memandangnya sedih.

“Farid….betul apa yang kau cakap dulu,” kata Dhiah lemah.

“Apa yang betul, apa kata aku?” Aku tidak tahu bahagian mana betulnya kata-kataku yang dimaksudkan Mardhiah.

“Farid minta izin kawin lagi….” Kata-kata Mardhiah bagaikan kejutan elektrik menyentap jantungku. Oh, Mardhiah, kenapa nasibmu malang sebegini. Sudahlah kau tak ada kerja, nak dimadukan pulak. Aku sangat memahami gejolaknya jiwa Mardhiah sahabatku. Aku cuba menenangkan diriku semampu yang boleh. Memang tidak salah kalau Farid mahu kahwin lagi. Islam membenarkan. Tapi mampukah Farid dari segi keewangan untuk menampung dua keluarga. Mardhiah tidak bekerja, pasti sepenuhnya mengharapkan perbelanjaan dari Farid.

Apa kurangnya Mardhiah sehinggakan Farid tergamak untuk melukakan hati Mardhiah yang sudah banyak berkorban untuk dia dan anak-anak. Aku hanya mampu mengeluh berat. Hanya mereka berdua yang tahu masalah sebenar mereka.

“Sejak bila dia buat hal?” Soalku lagi.

“Sudah enam bulan. Kerani tempat kerja dia. Umur budak tu baru 20 tahun Zan, mana aku tak sedih. Kenapa dia buat aku macam ni?” Aduh, aku memang tidak mampu menjawabnya. Tetapi naluri perempuanku sudah berkata-kata sejak dari dulu, ketika Mardhiah mahu berhenti kerja dulu. Hati aku tidak bersetuju sebenarnya. Tapi apa nak buat, perkara sudah berlalu.

“Dua bulan lepas dia dah bawa budak perempuan tu datang rumah aku. Aku disuruh melayan budak tu dengan dia makan malam kat rumah kami. Aku diminta memasak macam-macam makanan untuk mereka. Kau bayangkanlah perasaan aku Zan,” luah Mardhiah dalam esakan yang semakin menjadi-jadi.

Aku yang mendengar pun rasa seperti hatiku dihiris sembilu, apa lagi Dhiah yang melaluinya. Tidak dapat aku bayangkan betapa deritanya Mardhiah ketika itu. Kata Mardhiah, dia tidak sanggup duduk makan bersama mereka berdua. Hanya mereka berdua makan sambil bergelak ketawa, maklum pasangan sedang bercinta. Air mataku ikut meleleh keluar ketika Mardhiah menceritakan apa yang dilaluinya, selepas dia menghidangkan makanan mereka, dia berlari ke bilik atas menangis meratapi diri diperlakukan Farid sedemikian.

“Aku rasa mahu bunuh diri Zan. Aku rasa sangat tidak berharganya diriku ketika itu. Nasib baik Mira, anak perempuanku yang tingkatan 4, memberi semangat untukku. Kalau ikutkan Amir, anak sulungku yang tingkatan 5 tu, mahunya dia mengamuk marahkan ayahnya. Mak aku juga banyak memberi semangat dan menenangkan jiwa aku Zan. Aku rasa sangat diperbodohkan dan tidak bergunanya aku, seperti sampah, macam kain buruk dia buat aku.” Sedu sedan Mardhiah semakin menjadi-jadi.

Masya-Allah, kenapakah Farid jadi begitu? Apakah Farid anggap sebegitu bodohnya Dhiah sehingga sanggup memperlakukan Dhiah sedemikian rupa? Kenapa Farid yang begitu baik dan terpelajar boleh jadi seperti haiwan yang tidak punya perasaan. Tidak habis berfikir aku melihat apa yang dilalui pasangan bahagia ini. Aku membiarkan Mardhiah menangis sepuas-puas hatinya.

“Zan, lebih sedih lagi bila tadi dia ajak aku menemaninya membeli barang-barang untuk pertunangan mereka minggu depan. Dia minta aku yang melamar budak tu. Ibubapa budak perempuan itu tidak akan setuju kalau aku tidak melamar untuk Farid. Ibu bapanya mahu Mardhiah merestui perkahwinan Farid dengan anaknya. Tanpa restu aku, bapanya tidak mahu menikahkan mereka.” Mardhiah menjelaskan dalam sedu-sedannya yang semakin menjadi-jadi.

Niat untuk keluar dari kereta, makan sambil bercerita tidak jadi. Tidak mungkin dapat makan dalam keadaan Mardhiah begini. Malah akan malu jadi tontonan orang lain.
Seleraku pun hilang. Terkejut aku mendengar cerita Mardhiah. Kenapa begitu zalimnya Farid. Dia yang nak seronok, tapi Mardhiah yang dipaksa menelan deritanya sendirian.

“Sebenarnya kau sendiri macamana, setuju ke Farid nak kawin lagi?” Tiba-tiba saja soalan itu keluar dari bibirku.

Sesuai atau tidak, aku tidak sempat fikir, yang aku tahu hatiku sangat sakit mendengar sahabatku yang sangat baik diperlakukan seperti itu, seolah-olah tiada perasaan dia. Bila Mardhiah cerita tentang rakusnya budak perempuan itu mengikis Farid dengan meminta membeli bermacam-macam benda, termasuk kereta dan barang-barang kemas, hatiku jadi sangat terpanggil untuk melakukan sesuatu yang terbaik untuk sahabat baikku dunia akhirat.

Hubungan mereka yang sudah seperti pasangan suami isteri itu juga sangat menyakitkan hati aku. Sudah tidak tahu pahala dosa mereka. Boleh ke mereka berlaku adil untuk Mardhiah, kalau keadilan dan kejujuran untuk diri sendiripun mereka tak punya. Mudah-mudahan Allah merestui apa yang akan aku rancangkan ini.

“Kau masih sayangkan Farid dan rumah tangga kau?” Aku bertanya inginkan kepastian dari Mardhiah. Mardhiah mengangguk lemah.

“Apa yang kau harapkan dari Farid sekarang?” Aku bertanya lagi.

“Aku mahu dia tinggalkan perempuan tu, kembali kepada aku dan anak-anak macam dulu,” kata Dhiah berharap.

Aku memegang tangan Dhiah, “Dhiah, itu satu perkara yang tidak mungkin, mustahil, tidak mungkin Farid akan tinggalkan perempuan itu. Apa lagi hubungan mereka sudah sampai ke pengetahuan ibu bapa mereka dan Farid dengan perempuan itu pun dah macam suami isteri. Kau kena sedar keadaan itu. Sekarang kau kena buat keputusan mahu terus hidup dengan Farid atau kau nak lepaskan diri dari dia. Kau kena buat keputusan sendiri, kerana kau yang akan tanggung, aku hanya memberi panduan.” Panjang lebar aku berkhutbah, kemudian menunggu jawapan Mardhiah.

“Kau tahu sendiri, apa akan jadi kepada aku jika Farid tinggalkan aku. Anak-anak aku lima orang tu siapa yang akan tanggung. Aku tidak bekerja.” Mardhiah bersuara belas sekali kedengaran beserta air mata bercucuran menuruni pipinya yang kelihatan kusam, tidak terurus.

“Baiklah, kalau macam tu, kita kena pastikan hidup kau dan anak-anak bersama Farid tidak akan sengsara, ok.” Aku yang buat kesimpulan setelah mendengar kata-kata pasti Mardhiah. Kelihatan murung sekali sahabatku Mardhiah.

“Sabarlah….sekali ini kau mesti ikut cakap aku kalau kau anggap aku kawan kau, boleh?” Tanyaku tegas.

Mardhiah memandangku mengangguk lemah. Sudah tidak bermaya dia, tidak boleh berfikir waras lagi, setelah diperbodohkan sebegitu oleh Farid, suami yang sangat disayangi dan diharap akan melindungi dia hingga ke hujung nyawa. Semuanya musnah rasanya.

Aku terus membawa Mardhiah berjumpa dengan Lina, peguam syariah, juga kenalanku dan selalu menjadi rujukanku untuk kes-kes yang aku tangani. Kami menjelaskan kedudukan yang sedang dilalui Mardhiah. Alhamdulillah, aku hanya membayar RM200 untuk Lina menyediakan dokumen perjanjian serahan harta dan nafkah untuk ditandatangani Mardhiah dan Farid, sebelum dia berkahwin satu lagi. Hanya inilah cara untuk memelihara kebajikan isteri pertama dan anak-anak, dan mengelak dari teraniaya.

“Kalau Farid tak mau tandatangan macamana?” Mardhiah masih ragu dan bimbang. Kesian Mardhiah, berbeza sekali Mardhiah yang aku kenali dulu semasa di universiti dan ketika masih bekerja. Bergaya dan bertenaga sekali dulu. Kini, sangat menebal rasa rendah dirinya setelah tidak bekerja dan diperlakukan seperti ini oleh Farid. Memang betul, dia sekarang seperti orang yang tidak bersemangat untuk hidup. Kasihan.

“Tak apa kau cakap baik-baik dan kau berikan syarat, kau akan pergi meminang perempuan itu dengan syarat dia menandatangani surat serahan ini terlebih dahulu. Pasti dia akan tandatangan, sebab dia memerlukan sumbangan kau dalam merealisasikan keinginannya.” Wajah Mardhiah sedikit ceria mendengar perkataanku, walaupun kutahu jauh di sudut hatinya, semuanya telah hancur berkecai.

Perempuan atau isteri ibarat mentimun, digolek pun luka, tergolek pun luka. Akhirnya terpaksa pasrah menerima keadaan atau lebih baik kalau pasrah dalam keredhaan, walaupun sangat payah.

Akhirnya Farid setuju menandatangani dokumen yang menyebutkan tentang nafkah bulanan, hak rumah, kereta dan lain-lain untuk melindungi kebajikan Mardhiah dan anak-anak. Farid tiada pilihan kerana desakan keluarga bakal isteri dan nafsunya ke atas perempuan muda itu melebihi kewarasan akalnya.

Alhamdulillah, aku berharap apa yang aku lakukan ini dapat memberi sedikit cahaya untuk sahabat baikku Mardhiah, untuk menempuh kehidupannya. Aku juga akan membimbingnya dalam perniagaan supaya dia boleh berdikari.
Alhamdulillah, kini wajahnya sudah berseri semula, seperti dulu, walaupun ada luka di hati yang amat mendalam. Dhiah, suami hanya pinjaman, Dia akan mengambilnya semula secara hidup atau mati.

Sesungguhnya hidup ini perlu diteruskan, masalah perlu ditangani, bukannya lari atau mengelak kerana ianya akan merosakkan, jika tidak kembali kepada Qada dan Qadar Allah. Wallahuallam.

Nor Aizan Ab.Halim, 18 Februari 2012, Bandar Baru Bangi.

Monday 20 February 2012

1. Lemah Jiwa


Sudah hampir setengah tahun aku tidak praktek kaunseling kepada klienku. Hati dan jiwa sudah terasa lemau, lemah tidak bermaya. Memang sangat membantu jika dapat aku mengadakan sesi kaunseling dengan klien. Membantu aku muhasabah diri, bersyukur, dan mempunyai semangat yang kuat untuk menghadapi apa juga cabaran dan halangan yang datang dalam kehidupan. Kekuatan itu datang hasil dari mendengar, menilai dan memberi saranan kepada klienku. Seolah-olah aku sendiri yang melalui semua itu, empati. Baru terasa betapa bertuahnya aku berbanding dengan klien-klien yang datang kepadaku dengan segala masalah dan permasalahan mereka.

Kesibukan yang melanda. Mempersiapkan anak yang akan menghadapi peperiksaan besar. Menyiapkan diri untuk menghadapi pelajar-pelajar yang baru masuk. Meningkatkan pendapatan sebagai langkah persediaan untuk membantu mak merawat penyakit `kanser ususnya’ dan berbagai-bagai kesibukan yang lain. Akhirnya terlalai dari melakukan kewajipan sosialku. Tidak mengapa kata kawan baikku. Apa yang sedang aku lakukan sekarang juga lebih penting untuk menunaikan tanggung jawab yang diamanahkan oleh Allah kepadaku. Insyallah.

Tahun 2003 aku mengambil keputusan untuk meneruskan ‘masters’ dalam bidang psikologi. Kawan-kawan sibuk bertanya untuk apa melanjutkan pelajaran sedangkan aku sudah memiliki segala-galanya, kerjaya, keluarga, suami yang baik, anak-anak yang comel dan sempurna serta harta yang mencukupi dengan usaha dan usia kami ketika itu. Dalam zon selesalah katakan.

Kenapa perlu peningkan kepala, otak dan badan yang semakin montel. Kan penat ‘part time study’, berkejar-kejar nak pergi kuliah selepas kerja, atau lari-lari dari tempat kerja nak ke kampus, cuti separuh hari, atau cuti jam. Duit pula mengalir macam air, untuk yuran, minyak kereta, servis kereta, buku-buku, fotostat dan berbagai-bagai keperluan yang lain.

Macam-macam dilalui. Huh...memang penat dan itulah kenyataannya. Pernah kemalangan di lampu isyarat, mata celik tapi hati dan otak ‘tidur’ kereta bergerak ke depan tak sempat tarik brek tangan, sudah terlelap. Akhirnya kena bayar kerana melanggar kereta orang.

Belum lagi kes terpaksa berdepan dengan bos kerana ada yang menuduh curi tulang, sengaja ambil kesempatan untuk lari dari tugas. Entahlah ada yang sampai hati tuduh macam tu, kawan sebangsalah tu kalau bercakap berasaskan iri hati atau cemburu, agaknyalah. Lebih baik lagi kawan non-Melayuku, “Zan you go on, I will relief your class, don’t worry.” Itulah kata-katanya setiap kali aku mengeluh kalau terpaksa meninggalkan kelas untuk ke kuliah atau toturial ganti, yang ditentukan masanya oleh pensyarah. Keadaan ini biasanya akan bertembung dengan waktu aku mengajar.

Akhirnya aku bersikap proaktif, meminta relief kelas setiap hari ketika aku tiada kuliah atau tiada kelas, untuk mengelak aku dituduh curi tulang dan menebus masa yang digunakan untuk studi. Persepsi bos mula berubah. Tanggapan negatif mula bertukar jadi positif. Pelepasan mulai mudah diperoleh, walaupun kadang-kadang perit, maklum berkaitan dengan meninggalkan pelajar yang ramai, terpaksa diambilalih oleh orang lain. Rasa bersalah juga. Hanya doa, orang yang mempermudahkan orang lain akan berpuluh kali ganda dipermudahkan Allah untuk mereka. Mudah-mudahan, Amin.

Cabaran yang sangat hebat untuk aku tempuhi dalam tempoh menyiapkan sarjanaku. Tapi alhamdulillah berkat ketabahan, kesabaran dan sokongan kawan-kawan baik serta doa ibubapa, akhirnya dapat juga aku selesaikan tanpa perlu aku mengambil cuti belajar atau menangguhkan kuliah beberapa semester macam orang lain.

Mengambil keputusan melanjutkan pengajian dalam bidang psikologi, sangat lari dari bidang asalku, adalah satu usaha aku untuk mengatasi masalah dan konflik yang sangat hebat aku lalui ketika itu. Tiada siapa yang tahu. Hanya aku menelan kepahitan itu seorang, tiada tempat mengadu, hanya Allah satu-satunya yang Maha Mengetahui dan Maha Mendengar luahan hatiku.

Ketika jiwa sudah lemah dan hampir patah hati lagi dalam hidup ini, tiba-tiba datang bisikan untuk meneruskan pengajianku dalan bidang psikologi, dengan harapan untuk mengubat hati dan jiwa sendiri, bukan untuk menolong orang lain atau ada tujuan tertentu dalam kerjaya. Tidak. Aku hanya mahu lari dari masalahku, mungkin. Alhamdulillah, berhasil juga untuk mengubat diri, malah dapat juga membantu orang lain yang bermasalah.

Setelah tamat pengajian sarjana psikologi kaunseling tahun 2006, malah sebelum lulus lagi sudah mengambil kes secara rela dan dirujuk. Bukan sedikit kes klien yang telah kuambil, kes secara percuma, kes kerja kebajikan di pejabat agama atau kes berbayar untuk klien VIP atau dirujuk. Macam-macam masalah yang timbul dalam hidup ini, yang kadang-kadang tidak masuk pada akal rasional apa yang mereka lalui atau apa yang mereka lakukan. Subhanallah, mahakuasa Tuhan yang menjadikan manusia pelbagai bentuk dan ragamnya. Kadang-kadang sebijak-bijak dan sehebat manapun manusia itu, tanpa diduga akan melakukan sesuatu yang diluar jangkaan, apabila nafsu syaitan mula bertiup ke dalam roh atau jiwa manusia.

Klienku dari berbagai golongan status sosial- ekonomi. Taraf pendidikan mereka dari buta huruf berniaga pasar malam sampailah ke profesor, datuk, datin, doktor, peguam, malah peguam syarie sendiri pernah aku tangani masalah mereka. Mereka juga dari berbagai umur, dari empat tahun hinggalah 80 tahun lebih. Keadaan ekonomi mereka juga pelbagai, ada yang langsung tiada pendapatan dalam kehidupan sehari-hari hinggalah terpaksa bekerja melacurkan diri untuk menyara kehidupan dan anak-anak. Ada pula yang berpendapatan berpuluh-ribu sebulan tetapi terlalu berkira untuk memberi nafkah anak-anak sehingga si-ibu terpaksa merayu atau memfailkan kes tuntutan nafkah.

Ternyata, masalah akan menimpa sesiapa sahaja, tanpa perlu kita mendabik dada mengatakan aku orang hebat, boleh berfikir dengan waras dan membezakan baik dan buruk dalam kehidupan. Apabila hati diwarnai marah, dendam, iri hati, benci, kecil hati dan pelbagai nilai negatif yang lain, ternyatalah pendidikan tinggi, kerjaya bagus dan kecantikan rupa paras tidak lagi dapat mengawal diri dari melakukan tindakan yang negatif pula.

Seorang kawan pernah bertanya, adakah sebagai kaunselor, aku adalah seorang yang hebat dan tiada masalah. Aku hanya tersenyum Sesungguhnya aku hanya manusia biasa yang punya banyak kelemahan. Makhluk Allah yang lemah juga. Hanyalah aku ada ilmu dalam menangani setiap masalah yang datang supaya keadaan jadi seperti normal, untuk diri sendiri dan membantu orang lain meneutralkan keadaan yang tidak harmoni dalam diri mereka. Ada kalanya aku juga perlukan orang lain untuk mendengar masalah aku sebagai kaunselor.

Jadi sudah selesaikan masalah dan konflik dalam diriku yang bergelar kaunselor. Tidak. Sebagai kaunselor, aku selalu menegaskan kepada diri sendiri dan juga klienku, masalah itu akan jadi masalah kalau kita menganggap ianya adalah masalah. Tapi kalau kita anggap ia sebagai satu cabaran atau sesuatu yang perlu dihadapi, kita tidak akan lari tetapi akan mengatasinya dengan cara yang berhemah, supaya kita akan tetap boleh senyum dan ketawa dengan gembira.

Hanya kita sendiri yang boleh mengatasi masalah kita, membuatkan diri kita selalu gembira dan menciptakan kebahagiaan dan kejayaan dalam hidup kita. Jangan biarkan orang lain membuatkan kita sedih kerana orang yang betul-betul ikhlas adalah diri kita sendiri. Kita tidak boleh paksa orang lain ikut kehendak kita. Kalau kita setuju, kita kena ikut mereka. Kalau kita tidak setuju kita kena lepaskan diri dari mereka itu, supaya kita akan boleh terus senyum gembira dan bahagia dalam hidup, Kalau kita gembira dan bahagia, orang-orang di sekeliling kita juga akan ikut gembira dan bahagia. Hidup ini akan jadi sangat indah hingga ke hujung usia. Insyallah.

Hiasi selalu diri dengan senyuman kerana ia akan membuatka kita bahagia dan orang-orang di sekeliling juga gembira dan bahagia. Hati bersih, muka ceria, hidup gembira dan bahagia, Insyallah.

Memberilah kalau kita mampu kerana setiap pemberian dengan keikhlasan, janji Allah ganjaran lebih besar akan menyusul.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 27.9.2011.