Friday 23 March 2012

3. Hanya Dia Yang Tahu

“Kak, nak ikut tak?” Tiba-tiba sahaja Rashid melontarkan pertanyaan kepadaku. Terkejut aku.

“Nak pergi mana?” Tanyaku dengan menunjukkan wajah kehairanku.

“Cleaning,” jawab Rashid. Aku kebingungan. Memang istilah tu baru bagi aku yang baru berada di pejabat agama ini. Aku mengangkatkan keningku tanda tidak faham.

“Serbuan ke budget hotel sekitar bandar ini.” Rashid, salah seorang pegawai penguatkuasa di pejabat agama tempat aku praktik kaunseling menjelaskan kepadaku.

“Oh….,” kataku sambil menganggukkan kepalaku tanda faham.

“Bila?” Aku mula tertarik. Bagus juga untuk pengalamanku melihat situasi sebenar masalah sosial yang semakin menjadi-jadi di kalangan masyarakat ketika ini. Melacur.

“Bila?” Tanyaku ulang tanda menunjukkan minatku untuk ikut sama.

“Malam besok, pukul 10,” jawab Rasyid sambil menghampiriku. Aku mengira-ngira waktuku untuk malam besok, apakah keadaan mengizinkan atau tidak. Aku rasa memang kosong, tiada perancangan lain. Anak-anak boleh kutinggalkan dengan Ayah mereka. Saja nak menimba pengalaman, memang perlu berkorban masa sedikit. Pengalaman berharga. Tidak mudah didapati di mana-mana.

“Ok lah, akak ikut. Kat mana berkumpul?” Aku menyatakan persetujuanku dan mahu tahu lebih lanjut perancangan yang dibuat.

Menurut Rasyid, kali ini serbuan lebih besar dibuat. Mereka dalam kumpulan lima puluh orang akan bergerak ke hotel-hotel yang diterima aduan mengenai banyaknya kegiatan maksiat dilakukan. Seram sejuk juga nak ikut sama. Bimbang berbagai kemungkinan yang akan berlaku. Maklum, tempat tujuan maksiat, biasanya dikunjungi manusia yang kurang iman, kurang moral, kurang akal dan kurang rasional dalam bertindak. Dalam keadaan terdesak, nak mengelak rasa malu dan takut ditangkap akan sanggup melakukan perkara-perkara yang tidak dijangka.

Melihat aku termenung dan mungkin berwajah curiga, Rasyid bersuara, “jangan risau kak, bersama-sama kita ada polis, pertahanan awam dan ustaz-ustaz yang sasa dan gagah perkasa semuanya.” Rasyid ketawa dan aku senyum sambil menganggukkan kepalaku, “ok lah, akak ikut,” jawabku. Rugi rasanya kalau tidak mengambil kesempatan yang ada. Bukan selalu ada serbuan begini.

“Comfirm ye kak, nanti akak tunggu kat ofis, kita berkumpul di sini untuk taklimat ringkas. Kita naik kereta saya satu kereta dengan tiga orang yang lain,” maklum Rasyid kepadaku. Aku mengangguk tanda faham.

Semua perancangan permulaan berjalan dengan baik. Hati berdebar-debar rasanya. Takut dan seram rasanya. Hanya bertawakal kepada Allah minta dilindungi kerana tujuanku baik, untuk menyelami permasalahan ini secara langsung. Sesuai masa dijanjikan kami bergerak ke tempat yang dirancangkan. Teratur juga perancangan mereka. Hotel pertama dan kedua, operasi berjalan dengan jayanya. Tiada kekecohan berlaku. Bertempiaran mereka lari dan cuba menyembunyikan dan menyelamatkan diri masing-masing. Berjaya juga ditangkap beberapa orang yang terlibat dengan aktiviti pelacuran ini.

Tiba di hotel ketiga, sepertinya mereka sudah tercium adanya operasi, atau lebih tepat seperti sudah ada pihak yang menghubungi hotel-hotel lain di sekitar menyebabkan keadaan jadi lengang seolah-olah tiada pengunjung di hotel itu. Setelah digelidah, hanya dapat ditangkap tiga orang sahaja pelanggan yang tidak sempat melarikan diri atau bersembunyi. Nasib malang mereka. Di antara tiga pasangan yang ditangkap, mataku terpaku kepada seorang gadis kecil yang sangat cantik merenung ke arahku dengan matanya yang sayu. Hatiku jadi tersentuh. Masih muda sekali gadis ini, cetus hatiku. Kesian dia. Perasaan marah dan geram dengan tingkah laku tidak bermoral ini tiba-tiba bertukar menjadi sedih dan kasihan kepadanya.

Aku menuju ke arah gadis tersebut. Aku senyum kepadanya. Aku menariknya ke tepi dan cuba berinteraksi dengannya secara baik. Tiada tengking herdik seperti yang dilakukan petugas-petugas yang lain. Kelihatan gadis ini sedikit selesa dengan caraku.

“Nama adik ni sape?” Aku mula membina hubungan dengannya.

“Nabila,” jawabnya dengan suara perlahan, gementar. Maklumlah tertangkap basah sedang melakukan aktiviti seks terlarang tetapi berhabuan.

Aku menganggukkan kepalaku sambil bertanya lagi, “mana pasangan Nabila?” Dia kelihatan sedikit keliru dengan soalanku. “Mana pasangan adik waktu ditangkap tadi?” Aku mempermudahkan soalan. Nabila memuncungkan mulutnya ke arah lelaki hampir separuh umur yang sedang diambil ujian air kencing dan alkohol oleh pihak polis yang ikut sama dalam operasi ini. Nabila yang baru berusia 16 tahun, gadis di bawah umur, sanggup menjadikan diri habuan penggemar seks bebas berbayar. Kenapa dia sanggup melakukan semua ini?

Melihat air muka Nabila yang masih bersekolah di tingkatan empat sains tulin ini, hatiku jadi sedih, teringatkan anak gadisku di rumah. Ya Allah, peliharalah zuriatku dari kemungkaran dan maksiat, atau paksaan dalam kegiatan seumpama ini, hanya di bawahMu kami berlindung, doaku di dalam hati, berkali-kali. Nauzubillah.

“Kenapa Nabila buat semua ini?” Polos sekali aku melahirkan soalanku. Nabila hanya diam membisu. Tidak dapat berkata-kata dia dalam situasi yang masih kelam kabut dengan petugas yang begitu ramai, sedangkan mangsa yang ditangkap hanya 3 pasangan.

Aku memegang bahunya dan menggosok-gosok perlahan. Hal yang sama selalu aku lakukan kepada anak-anakku.Terasa seperti aku sedang menggosok bahu anak gadisku. Ya Allah, sangat belas rasa hati, menahan airmata dari menitis, melihat nasib malang gadis ini yang pada usia begini sepatutnya dia di rumah, mengulangkaji pelajaran atau bersenda gurau dengan ahli keluarga yang lain.

Nampaknya nasib Nabila tidak sebaik nasib anak-anakku dan anak-anak lain yang memiliki ibu bapa yang masih mengurus dan menjaga mereka. Itulah yang bermain di mindaku. Pasti ada sebab yang khusus kenapa Nabila berada di sini, pada waktu yang begini dan melakukan aktiviti tidak baik seperti ini. Aduh, fikiranku berkecamuk. Maklum, pertama kali aku berdepan secara langsung dengan suasana begini. Naluri seorang ibu sangat menguasai diri ketika itu. Rasa tidak rela melihat Nabila. Pasti ada pendaman dan penanggungan yang amat berat dalam dirinya, agakku.

Setelah semua proses selesai, aku secara personal meminta Nabila dirujuk di bawahku untuk sesi kaunseling nanti. Aku akan cuba menelusuri masalah dan permasalahan sebenar yang dilalui Nabila gadis malang menurut perkiraanku ini.

Alhamdulillah, Nabila tidak menolak untuk menghadiri sesi kaunseling denganku. Sesi pertama memang sedikit kaku, sepatah kutanya sepatah dijawab, malah ada yang tidak berjawab. Maklum baru mula, masih tertutup. Malu, segan dan takut menguasai diri. Di sinilah cabaran bagiku, kaunselor baru untuk membina hubungan dengan klienku yang dirujuk begini. Memang bukan mudah, malah akan jadi ‘give-up’ kalau tidak kena caranya atau tidak sabar.

Dari sesi pertama yang berlangsung hampir satu jam, tidak banyak yang kudapat dari Nabila. Namun maklumat penting punca dia terlibat dengan aktiviti ini sudah terungkai. Memang kasihan. Dia terpaksa melakukan aktiviti ini, “tiada orang yang akan menyara hidup kami,” luah Nabila sambil menundukkan kepala, mata merenung lantai, menyembunyikan perasaan segannya, pasti.

“Puan ingat saya suka ke buat kerja macam ni. Saya tidak rela Puan. Kalau saya boleh bunuh diri atau bunuh semua ahli keluarga saya yang terpaksa saya tanggung, saya akan lakukan Puan, saya takut tidak cium bau syurga kalau saya membunuh. Kalau melacur, saya masih ada harapan masuk syurga…..hidup saya sangat tersiksa….Puan tahu…, saya juga seperti orang lain, mahu hidup tenang dan bahagia,” luah Nabila dalam tangisnya. Tangisan dan kata-kata Nabila sangat meruntun jiwa keibuanku. Air mataku sudah memenuhi kelopak mataku, tidak dapat ditahan lagi. Aku keluar dari bilik, membiarkan Nabila meredakan tangisnya, malah juga meredakan tangisku sebenarnya.

“Mak dan Ayah ke mana? Kenapa mereka tidak menyara hidup Nabila?” Aku melahirkan rasa ingin tahu yang semakin membuak-buak, setelah mampu menyambung semula sesi penerokaanku yang tergendala seketika dek emosi menguasai diri.

Nabila diam. Hanya air matanya yang menitis keluar. Air mata yang mewakili beban dan derita yang ditanggungnya sehingga terpaksa melacurkan diri untuk mendapatkan sesuap nasi untuk diri dan ibu bapanya. Memang rasa tidak masuk akal, tapi itulah sebenarnya yang berlaku. Di manakah saudara mara, sahabat handai, jiran-jiran, penghulu atau wakil rakyat kawasannya sehinggakan Nabila dan keluarganya terbiar begini, cetus hatiku. Aduhai bangsaku, agamaku, negaraku...….merempat di tanah ibunda. keluhku.
Sesi seterusnya Nabila datang bersama ibu dan bapanya. Kedua-duanya sudah warga emas. Malah lebih kasihan bapanya lumpuh separuh badan. Hanya mampu bergerak dengan bantuan kerusi roda yang sangat uzur. Huh….sungguh perit hidup mereka rupa-rupanya. Banyak keperitan tersembunyi yang dilalui manusia di sekelilingku. Malang sungguh nasib mereka. Hanya Allah yang tahu segala-galanya.

“Mak Cik, Nabila ni anak nombor berapa?” Aku memulakan perbualanku dengan ibubapa Nabila, setelah mempersilakan ibunya duduk, dan aku memperkenalkan diriku serba sedikit. Mataku tidak lepas dari merenung ke wajah Mak Cik Kiah, ibu Nabila. Sesekali aku mencuri pandang wajah Pak Idris bapa Nabila. Wajah kedua-duanya lebih tua dari usia mereka sebenar. Kelihatan jelas garis-garis tua di muka mereka. Garisan tua timbul selari dengan keperitan yang mereka tanggung. Aduh, kesiannya.

“No tiga, anak bongsu kami,” jawab Mak Cik Kiah ringkas.

“Oh…yang dua orang anak lagi tu lelaki ke perempuan?” Tanyaku lagi.

“Satu lelaki dan satu perempuan.” Perlahan Mak Cik Kiah bersuara, macam ada sesuatu yang tersembunyi dalam nada suaranya. Aku mengangguk sambil meneruskan pencarianku. Aku rasa lebih tertarik untuk tahu lebih mendalam.

“Anak Mak Cik yang dua orang lagi tu kat mana?”

Mak Cik Kiah tunduk sambil menyapu air matanya. Pak Cik Idris memegang bahu Mak Cik Kiah, cuba meredakan Mak Cik Kiah yang sudah mula menangis.

“Maaf Mak Cik, saya minta maaf kalau ada kata-kata saya yang menyinggung perasaan Mak Cik.” Aku mula rasa bersalah melihat Mak Cik Kiah menangis tersedu-sedu. Aku membiarkan keadaan reda.

“Kenapa Mak Cik menangis….?” Aku menyambung perbualan kami setelah melihat Mak Cik Kiah sudah tenang semula.

“Puan, kehilangan anak lelaki kamilah yang menyebabkan Nabila terpaksa menanggung semua ini,” sambungnya. Perasaan ingin tahuku semakin kuat. Adakah apa yang ada di mindaku ada kebersamaannya dengan apa yang akan diungkapkan Mak Cik Kiah nanti.

“Apa maksud Mak Cik?” Tanyaku. Mak Cik Kiah kembali sebak. Tidak dapat berkata-kata dia.

“Sebenarnya anak lelaki kami meninggal dalam kemalangan jalan raya tahun lepas. Dia dan isterinya meninggal dunia di tempat kejadian. Hanya dua orang anaknya yang selamat. Nabilalah yang menjaga dan menyara mereka berdua dan kami.” Pak Cik Idris yang sedari tadi hanya diam, membiarkan isterinya bercerita, akhirnya bersuara setelah melihat Mak Cik Kiah tidak mampu meneruskan penceritaannya. Aku rasa semakin memahami persoalan yang dihadapi mereka sekarang. Hampir menemui punca sebenarnya.

Nabila yang hanya berusia enam belas tahun terpaksa menyara lima orang. Berat tanggung jawabnya, bisik hatiku. Kasihan. Dari mana dia akan mendapatkan wang untuk menyara mereka, sedangkan sebahagian dari harinya sudah dihabiskan untuk bersekolah. Nabila tidak mahu berhenti sekolah kerana dia mempunyai prestasi yang baik dalam akademiknya. Dia berharap mampu mendapatkan pekerjaan yang baik apabila selesai sekolahnya nanti.

Memang perit. Arwah abang Nabila hanya bekerja kilang tiada harta atau simpanan yang ditinggalkan. Apalagi insuran, langsung mereka tak punya. Masya-Allah, beratnya tanggungan kau wahai Nabila.

“Pak Cik dan Mak Cik tahu ke apa kerja Nabila untuk menyara hidup keluarga ini?” Aku ingin dapatkan kepastian dari apa yang telah berlaku.

Mereka berdua mengangguk, sambil Mak Cik Kiah bersuara perlahan, “tapi apa yang boleh kami buat, melarangnya bermakna semua akan kelaparan, Nabila tidak dapat bersekolah. Anak-anak saudaranya tidak terbela. Nabila seorang anak yang baik. Anak yang pandai dan patuh.” Suara Mak Cik Kiah kembali bergetar. Sebak dia.

“Tak ada ke kerja lain yang boleh dilakukan selain kerja ini Mak Cik?” Tanyaku. Sebenarnya lebih kepada keinginan untuk melahirkan rasa kesalku dengan apa yang berlaku. Mak Cik Kiah hanya diam. Mungkin kalau aku di tempatnya pun tidak tahu apa akan kukatakan, ibarat kata, ‘ditelan mati mak, diluah mati bapa.’ Umur enam belas tahun, dengan masih bersekolah, majikan mana yang akan menerima Nabila bekerja?

“Mak Cik tahu kan ini sangat besar dosanya dan apa jadi dengan anak-anak yang dibesarkan hasil dari rezeki macam ni Mak Cik,” aku semacam berdakwah lagi. Serentak itu juga Mak Cik dan Pak Cik Idris menangis tersedu-sedu. Aku bangkit dari kerusi memeluk Mak Cik Kiah. Aku sangat menyesal dengan perkataanku, tetapi aku perlu melahirkan kerana itu tanggung jawabku. Aku sebenarnya sangat memahami situasi mereka berdua dan Nabila. Keperitan hidup mereka seperti menyucuk-nyucuk hatiku. Aku memang selalu terlebih empati untuk kes-kes yang aku tangani. Kadang-kadang memakan diri dan terbawa-bawa dalam kehidupan sehari-hariku.

“Ada ke Mak Cik, Pak Cik dapat bantuan dari mana-mana pihak, Kebajikan Masyarakat ke?” Tanyaku lagi.

“Ada, 200 ringgit sebulan. Apalah yang boleh dibuat dari duit segitu. Untuk makan pun tak cukup buat kami berlima,” keluh Mak Cik Kiah dalam sedunya. Allahuakbar. Aku memang tidak mampu berkata-kata dengan lebih lanjut. Tiba-tiba lidah jadi kelu menghadapi situasi ini. Aku perlu bertenang untuk menjalankan tugasku. Air mataku hampir menitis, alhamdulillah dapat kutahan dari meluncur keluar dengan laju ke pipiku.

Bayangkanlah, menghalalkan yang haram, semata-mata kerana terpaksa untuk hidup. Tidak terfikir akal sihatku. Kalaulah ibu bapa tidak tahu anak melacur, mereka makan hasil darinya, rasanya masih boleh diterima, tetapi kalau tahu tapi menghalalkan makan hasilnya, sangatlah menyedihkan…….nak salahkan siapa? Kalau keadaan ini berlaku, masyarakat sekeliling membiarkan sahaja, bukankah ikut berdosa mereka kerana membiarkan keadaan ini berterusan, tanpa berusaha mencegahnya.

Dengan jaminanku sebagai kaunselornya, Nabila dapat meneruskan persekolahannya dengan pemantauan dan perlu melaporkan diri dengan menghadiri sesi berjadual di bawahku. Alhamdulillah, dengan sedikit usaha, kes keluarga mereka dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat, akhirnya diberi hak untuk mendapat bantuan yang sewajarnya. Memang banyak prosedur yang dilalui, tetapi berkat ketabahan lima sekeluarga ini dengan sokongan aku dan rakan-rakan, akhirnya mereka tabah juga melaluinya.

Perubahan sikap Nabila yang positif, menyebabkan dia tidak perlu tinggal di Pusat Pemulihan, cukup dengan pemantauan dan kaunseling berkala yang kami lakukan. Semuanya atas jaminanku sebagai kaunselor yang dirujuk.

Enam tahun berlalu, Nabila kini bukan lagi Nabila yang dahulu. Nabila meningkat dewasa sebagai gadis yang menarik, berkulit putih, memiliki raut wajah yang menyenangkan dan berperibadi yang mulia. Nabila sempat menamatkan kuliahnya dan memiliki kerja yang sesuai denga kelulusannya untuk menampung kehidupannya dan keluarga.

Alhamdulillah, kehidupan yang dilalui di awal remajanya pahit, akhirnya dapat ditempuhi dengan tabah. Hanya satu pegangan yang patut dimilki setiap orang dari kita, berperananlah semampu dan sebaik mungkin, bukan hanya sekadar untuk keluarga kita, tetapi orang di sekeliling kita. Kalau setiap dari kita memainkan peranan positif dan proaktif, insya-Allah, masalah sosial akan semakin mengecil dalam masyarakat kita. Amin.

Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah, yang tidak baik itu datang dari diriku sendiri sebagai hamba Allah yang lemah. Wallahualam.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 6 Mac 2012.

No comments:

Post a Comment